GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Sunday, November 17, 2013

MINDA "GOLONGAN KOMITED DAN GOLONGAN BERALASAN"

Oleh Prof. Dr Muhaya Muhamad,

Disalin kembali oleh: Jokiden

SATU perkara yang membezakan manusia dari makhluk ciptaan Allah yang lain ialah keupayaan untuk berfikir dan memilih apa yang difikirkan. Banyak perkara berbentuk material boleh diambil daripada seseorang tetapi fikiran adalah sesuatu hak milik sepenuh seseorang dan ia berupaya untuk mengawalnya. Fikiran menghasilkan emosi, emosi menghasilkan tindakan dan tindakan menghasilkan hasil kehidupan yakni kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan.

Apakah formula untuk berjaya? Orang yang berjaya, dia buat apa yang orang tidak berjaya tidak suka lakukan. Bukan kerana dia suka tetapi ia menjadikan perkara itu tabiat yang dibuat tanpa perlu berfikir lagi. Apakah formula untuk menjadi hebat? Orang yang hebat dia buat tindakan yang luar biasa, hasil daripada fikiran yang luar biasa dan menghasilkan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketakwaan dan kebahagiaan) yang luar biasa. 

Hakikatnya orang yang benar-benar bahagia dalam hidupnya, suka apa yang dia buat dan buat apa yang dia suka dengan rahmat Allah dan mendapat sokongan daripada orang di sekelilingnya.

Manusia ini ada dua golongan, iaitu "golongan komited" dan "golongan beralasan". Ciri-ciri atau sikap orang yang dalam "golongan komited" adalah seperti berikut. Pertama, dia sudah nampak masa hadapannya, yakni dia melihat di dalam imaginasi apa yang dia percaya dan apa yang dia akan jadi pada 10, 20, atau 30 tahun akan datang.

Kedua, sentiasa berfikiran positif, sedar dirinya unik dan yakin dirinya hebat. Orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak yakin dengan kehebatan Allah yang menciptanya.

Ketiga, sentiasa ada niat dan perasaan "hendak memberi" bukan "hendak mendapat". Oleh itu apabila dia membuat sesuatu kerja dia membuatnya dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan memberi sebanyak mungkin manfaat tanpa memikirkan berapa banyak manfaat yang dia boleh dapat, yakni dari segi ganjarannya.

Keempat, dia akan sentiasa berasa sesuatu benda atau perkara itu banyak dan rezeki sangat luas. Oleh itu dia sentiasa berlapang dada, tidak tamak haloba dan tidak berasa iri hati apabila dia tidak berpeluang memperolehnya.

Kelima, sangat berdisiplin untuk mencapai cita-citanya. Keenam, sentiasa boleh mengawal "dunia dalaman" (fikiran dan emosi) yang menentukan keputusan pilihan dan tindakannya dalam mencapai hasil kehidupannya.

Ciri-ciri atau sikap orang yang dalam "golongan beralasan". Pertama, tidak ada perancangan dan matlamat hidup. Kedua, sentiasa mengutuk diri sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baharu dan asing buat dirinya.

Ketiga, sangat berkira dan suka memberi "alasan" apabila tidak berjaya bukan mencari "jalan" untuk mencapai kejayaan. "Alasan" kegagalannya itu selalunya dikatakan berpunca daripada orang lain atau faktor luaran.

Keempat, sentiasa berasa dunia ini sempit, rezeki sedikit dan peluang terhad dan akan berebut dan cepat merasa dengki dengan kejayaan orang lain. Oleh itu dia sentiasa hendak bersaing, kedekut dan sering enggan memberi kerjasama. Kelima, tidak tetap pendirian dan tidak konsisten. Keenam, berfikiran negatif dan sangat emosional.

Manusia boleh berubah menjadi baik, yakni daripada "golongan beralasan" menjadi "golongan komited" dengan cara membuat perubahan paradigma. Paradigma bermaksud bagaimana seseorang itu berfikir dan kemudian memberikan respons emosi terhadap apa-apa yang berlaku.

Dalam Kamus Dewan paradigma bermaksud batasan pemikiran seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman. Paradigma terkandung dalam "minda sedar" iaitu apa yang kita fikirkan dan terkandung juga dalam minda segar/minda bawah sedar (roh) yang 95 peratus menentukan kehidupan seseorang.

Oleh itu seseorang boleh mengubah paradigma dengan mengubah cara berfikir. Sebenarnya apa yang kita lihat bukan dengan mata fizikal tetapi kita melihat melalui mata hati kita. Apabila seseorang mempunyai banyak ilmu yang luas tafsirannya terhadap sesuatu yang dilihatnya menjadi luas berbanding dengan orang yang kurang berilmu.

Paradigma yang akan menentukan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan ketenangan dan kebahagiaan. Demikianlah betapa pentingnya ilmu, kerana kekuatan minda dan fikiran ditentukan oleh saringan dan pilihan bahan bacaan dan tontonan yang mampu menjadikan kita kaya dengan ilmu.

Oleh itu bagi menentukan sama ada kita termasuk dalam "golongan berjaya" atau "golongan komited" sangat-sangat bergantung kepada pilihan kehidupan kita yang kelima, iaitu "minda dan fikiran".

Oleh sebab itulah saya perkenalkan satu konsep atau gaya pemikiran yang saya namakan "Reset Minda" iaitu sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang-undang alam yang dicipta Allah.
"Reset Minda" memandu arah bagaimana kita "berfikir" (melalui minda sedar/akal) dan bagaimana kita "beremosi" (melalui minda bawah sedar/hati) apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

"Reset Minda" adalah konsep pemikiran bagaimana mengubah cara kita melihat sesuatu kejadian dan peristiwa yang terjadi ke atas kita. Kalau sesuatu kejadian itu menyedihkan kita, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah dan kita reda. Sebaliknya jika peristiwa gembira yang hadir dalam hidup kita, terimalah sebagai satu rahmat daripada Allah dan kita bersyukur serta sedari bahawa apa yang kita peroleh itu bukan kerana kehebatan kita, tetapi kurniaan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Berkuasa. 

Dengan kedua-dua cara ini, kita akan menjadi seorang yang tabah dan tidak riak, malah akan sentiasa merendah hati (bukan merendah hati). Memegang resmi padi "semakin berisi semakin beliut-lentuk menyembah bumi", bukan seperti lalang "mencanak ke langit tinggi kosong tidak berisi". Dengan sikap ini kita akan disenangi oleh orang di sekeliling kita, dan kita pula menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan.

Ubah cara kita melihat sesuatu, (Reset minda) jika sesuatu masalah menimpa kita, lihatlah masalah itu sebagai satu peluang; yakni "batu loncatan" bukan "batu halangan" untuk capai satu kejayaan yang baharu.

Kalau kita fokus kepada perkara yang baik/positif insya-Allah kita akan dapat perkara yang baik sahaja. Masalahnya sekarang, kita suka fokus kepada masalah, jadi masalah pun datang dan kalau memang sudah sedia ada masalah, masalah menjadi semakin membesar.

Oleh sebab itu dalam konsep pemikiran "Reset Minda" disarankan kita menjaga tiga perkara. Pertama, kata-kata yang keluar dari mulut kita. Kedua, fikiran yang berkisar dalam minda kita. Ketiga, perasaan yang berbolak-balik dalam hati kita. Pastikan semua kata-kata itu, yang positif, dan jangan ada sama sekali kata-kata negatif. 

Hal ini adalah sangat penting kerana, dalam Islam kata-kata itu adalah satu doa. Sebagaimana Hadis Qudsi menyatakan, "Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita atau sangkaan kita; kalau kita sangka baik, baiklah yang kita dapat, demikianlah sebaliknya. Oleh itu bersangka baiklah dengan Allah,".

Demikianlah kepentingan minda atau akal anugerah Allah yang membezakan manusia dengan haiwan. "Lalang suburnya kerana akar, rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar". Kalau "orang mulianya kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal, minda menjadi segar." (dalam buku Mata Akal Mata Hati). Jom audit diri. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".