GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Friday, June 6, 2014

INDAHNYA TANAH SUCI INI - PART ONE

Oleh Jokiden:


   
Gambar diambil dari tingkat atas, mungkin dua tahun lagi akan siap sepenuhnya. 


Jadual ziarah dan Umrah adalah padat. Fokus tidak boleh lari. 12 hari yang perlu di menafaatkan sebaik mungkin. Tempat tumpuan adalah dua iaitu Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram atau Baitullah di Mekah. Lawatan ke tempat-tempat lain amatlah terhad. Pakej juga tidak esklusif sangat.

Yang dapat disaksikan di dua Kota ini ialah tanah gersang yang berbukit-bukit dan batu-batu pejal. Jalan yang sempit dan berlopak-lopak kecuali Lebuh Rayanya. Habuk di serata tempat dan pembangunan di sana sini termasuk pembesaran Masjidil Haram yang mungkin dua tahun lagi akan siap sepenuhnya.

Bunyi kenderaan yang bersimpang siur dan bunyi krane dalam pembinaan tidak pernah sunyi 24 jam, seperti irama dan lagu. Kenderaan yang bersaiz besar kelihatan beratus-ratus di mana-mana jalan lalu menjadikan semua laluan jam sepanjang masa. Untuk melihat kelibat motor pula mungkin 10 jam baru kelihatan sebiji. Motor di Madinah dan Mekah ibarat antah di dalam beras. Perniagaan topi keledar memang merugikan di sana, tiada sesiapa yang ingin memakainya.

Habuk yang banyak, di kelilingi oleh bukit-bukit batu, bangunan yang berjerait rapat, tiada pantai, tiada padang atau taman yang menghijau dan tiada rimbunan pokok-pokok, maka di mana indahnya berada di dua kota ini????

Saya teringat kata-kata MCC, kali pertama dia memandang Kaabah, hatinya tersentuh, jiwanya cair dan airmatanya mengalir laju. Dia terpaku dan tidak bergerak untuk seketika. Itulah antara kecantikan atau keindahan berada di sana.

Kali pertama pula saya melihat Kaabah secara nyata di depan mata, tumpuan saya terganggu oleh ceramah atau penerangan oleh Mutawif atau pemandu ziarah yang bertanggung jawab untuk membantu kami pada malam pertama UMRAH tersebut.

Dalam keghairahan dia bercerita saya sebenarnya ingin segera untuk memulakan tawaf bersama ribuan jemaah lain kerana tidak mahu urusan wajib itu terganggu. Namun oleh kerana telah bertekad untuk akur dan mematuhi segala arahan maka saya hanya merenung sayu ke arah Kaabah sambil memasang telinga mendengar apa yang diperkatakannya dalam loghat Kelantan yang pekat sehingga sukar bagi kami hendak memahaminya.

Saya mula merasakan keindahan di dalam hati apabila berada di sana. Kaabah yang tersergam gagah dikelilingi oleh ribuan manusia dari seluruh pelusuk dunia yang melakukan tawaf menjadikan ia tersangat indah. Memandang sesuatu yang hitam di dalam Masjidil Haram adalah mendapat pahala, lalu memandang Kaabah maka amat besar ganjarannya.

Jika bertahun-tahun dahulu melihat ribuan manusia mengelilingi Kaabah atau sedang bersolat di bawah payung di Masjid Nabi atau ke sana ke mari mencari tempat untuk bersolat menerusi kaca TV saya amat teruja dan kagum. Kini pemandangan itu saya tatap secara terus dan tidak syak lagi ia adalah pemandangan yang sangat indah.

Di tanah air amat jarang saya dapat melihat anak-anak saya tekun membaca Al Quran kecuali di majlis kematian saudara mara, namun di dua Masjid ini saya menyaksikan betapa tekun, khusyuk dan asyiknya mereka membaca Al Quran. Itu pemandangan yang sangat indah kepada saya dan hati saya tersangat sayu melihatnya dan saya kerap kali mengalirkan air mata.

   Photo: Mungkin potret ni akan kekal lamo dlm ingatan..
Mereka lakukan sendiri tanpa perlu saya menyuruhnya.

Kedudukan hotel kami dengan Masjid adalah kira-kira 300 meter di Madinah dan di Mekah. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang ke Masjid kami dipayungi oleh ratusan burung merpati dan ada kalanya ribuan yang terbang laju. Rezeki burung ini tersangat murah kerana sentiasa diberi makan oleh para jemaah. Rezeki para peniaga kacang dan gandum juga murah.

Seorang darinya menawarkan kepada saya dua bungkus dan isyarat tangannya jelas menunjukkan dua dan harganya 5SR. Saya keluarkan duit dari poket dan bila dia melihat duit ditangan saya, harga terus berubah. Dia hanya memberi satu bungkus, halal.. halal, katanya dan terus mendesak saya membayar 10SR untuk dua bungkus. Dia tersilap orang, saya menolak, dia tidak melepaskan bungkusan dia dan saya tidak melepaskan duit saya. Akhirnya dia mencerabih dan melepaskan dua bungkus sambil berkata bakhil...bakhil.. bakhil.. Sebungkus untuk saya dan sebungkus lagi untuk Bang Ngah, kami menjamu burung dan meneruskan perjalanan ke Masjid.

Terlihat burung merpati saya pasti tersenyum dan teringatkan MCC. Dia pernah merasa hairan dengan jumlah burung merpati yang sangat banyak tersebut dan hatinya tertanya-tanya di manalah burung2 tersebut membuang najisnya kerana burung itu makan tanpa henti. MCC mendapat jawapan kepada pertanyaan yang hadir dalam hatinya itu sebelum dia sempat berpaling iaitu burung itu terus menjatuhkan najisnya ke atas kepalanya. Kisah itu menyebabkan MCC paling banyak datang dalam ingatan saya sepanjang di sana dan saya sentiasa berhati-hati agar tidak mempunyai soalan-soalan pelik ketika melalui kawasan burung-burung itu.

Apa lagi keindahan yang kita dapat saksikan ketika berada di sana??? Pakaian orang Arab ialah jubah. Lelaki dengan pelbagai warna sementara perempuan kebanyakannya berjubah hitam dan putih. Para jemaaah dari seluruh dunia mau tidak mau terpaksa teruja dengan pakaian jubah tersebut.

Saya gatal mulut bertanya kepada peniaga di sana, jubah datangnya dari mana? Selamba je mereka menerangkan Arab Saudi tidak mempunyai produk sendiri untuk dijual. Hampir kesemua barang jualan datang dari negara asing.

Jubah diimport dari Vietnam dan Iran. Sementara itu barang buatan dari China, Turky dan India berlambak-lambak di setiap kedai. Di sana dalam cuaca panas terik mencecah 46 C, orang selamba je memakai jubah, tidak langsung kelihatan rimas atau tidak selesa. Itulah kelebihan kota suci Mekah dan Madinah. Sekali lagi saya berpesan kepada sesiapa yang akan ke sana, tidak perlu membawa jubah dari sini kerana di sana kalian tidak akan mampu menahan selera daripada membeli dan memakainya.

   
Nampak tu,semua pakai jubah kecuali Jokiden dan seorang lagi.


  

1 comment:

  1. Pengalaman saya menjadi tetamu Allah, fikiran tiada lain selain dari ingin mendapat ganjaran pahala sebanyak mungkin dan keampunan dari Allah Subhanahuwataala..mana tidaknya sekali solat (tidak kira solat fardhu atau sunat) pahalanya sama seperti kita bersolat 100,000 kali di tempat lain..bukan itu saja malah ibadah2 lain juga mendapat pahala yang berlipat kali ganda..sebab itu saya merasakan masa terlalu singkat ketika berada di sana untuk melakukan/ merebut peluang beribadah. Haji yang mabrur akan menyucikan segala dosa yang kita ada..dan baliknya bersih seperti budak yg baru lahir..Tetapi adakah Haji/umrah yang telah dilakukan itu mabrur..?.entahlah hanya yg Maha Berkuasa saja yang maha mengetahui.. doa dipanjatkan pada setiap saat agar Allah menerima segala ibadah yang dilakukan..MD

    ReplyDelete