GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Monday, June 2, 2014

MASJID NABAWI DI KELILINGI HOTEL

Oleh Jokiden: 


  
Jokiden, isteri, Kaklong, Dik As, Abdul Qawiyy, Bang Ngah n Afiq



Melihat melalui media massa keindahan Masjid Nabi dan Masjidil Haram adalah tidak sama dengan melihat secara nyata di depan mata. Terpegun saya pada kali pertama melihat dan memasukinya. Ukiran yang terdapat di situ amat mengkagumkan. Segala-galanya indah. Jika di dalam bidang lain pengurusan Kerajaan Arab Saudi  mungkin ada cacat celanya, saya berpendapat di dalam menguruskan dua buah Masjid ini Kerajaan Arab Saudi adalah terbaik.

Masjid ini sentiasa didatangi oleh jutaan manusia, namun kebersihannya mengalahkan Disney Land. Ianya sentiasa dibersihkan setiap kali selepas solat fardhu. Pekerja yang ramai dan terlatih dan dengan dibantu oleh jentera moden maka tugas mereka kelihatan mudah walaupun kawasan yang harus diliputi amat luas.

Sebelum itu program hari pertama kami berjalan lancar. Lapangan Terbang Madinah tidaklah sebesar mana dan tidaklah secantik atau secanggih manapun. Ketika pesawat yang membawa kami mendarat, hanya ada 6 buah pesawat lain di situ.

Urusan di sana juga tidak secekap yang kami bayangkan. Saya melihat pekerja yang memakai pakaian seragam merah siap dengan troly untuk memunggah beg-beg kami. Oleh kerana kami mempunyai 6 buah beg besar dan 7 buah beg bimbit, maka apabila mereka menaikkan beg kami ke atas troly kami tersenyum bangga lalu menolaknya ke arah bas yang sedia menunggu tidak beberapa jauh, hanya sekitar 50 meter sahaja.

Hairan juga saya kerana ramai ahli rombongan hanya menolak sendiri troly mereka sedangkan troly saya dan keluarga ditolak oleh pekerja di situ. Rupanya saya terpaksa membayar khidmat petugas tersebut. Setelah semua beg dimasukkan ke dalam bas, maka dia menuntut daripada saya 70 riyal, Terkejut saya kerana hampir RM70 tu. Saya minta penjelasan dan dengan susah payah, entah apa yang dia cakapkan dalam bahasa Bangla, saya tidak faham cuma mengerti bahawa satu beg saya kena bayar SR10.

Segera saya bertanya kepada beberapa orang yang tentunya sudah memahami situasi tersebut yang telah mengalami berkali-kali peristiwa begitu di situ. Untuk kepastian saya bertanya kepada tiga orang dan ketiga-tiganya mengatakan kos untuk itu hanyalah SR10 kira-kira RM8.90. Kata mereka lagi jika berasa kasihan bagilah SR20. Maka saya memilih untuk bersifat 'kasihan' dan saya membayar 20 SR kepadanya. Tentulah dia tidak puas hati dan 'mencerabih' (ikut bahasa DJA) namun saya terus menaiki bas setelah menghabiskan dua batang rokok Kent di sisi bas tersebut.

    
Depan Hotel Al Fayrod Madinah.


Kami sudah diberi taklimat apa yang harus dilakukan setelah tiba di hotel. Makan, rihat sebentar dan ke Masjid untuk solat. Tiada ruang solat di dalam bilik yang kecil dan bilik air yang sempit. Kami telah membulatkan tekad sejak di tanah air lagi, untuk tidak akan komplain apa sahaja dan akan akur atau reda ke atas apa sahaja keadaan semasa di sana. Saya menambah doa sendiri agar diri ini terkawal dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada anggota jemaah yang lain.

Setelah membersihkan diri kami ke Masjid untuk solat Isyak yang dihimpunkan kepadanya Maghrib. Kemudian kami tour ke dalam Masjid. Saya melihat ramai sungguh para jemaah tidur bergelimpangan dan kami juga akhirnya sama membaringkan diri sebentar. Azan subuh kali pertama pada jam 3.10 pagi dan azan kedua ialah pada jam 4.10 pagi.

Masjid yang besar dan luas itu kelihatan lenggang antara jam 12 malam hingga 3.30 pagi. Kemudian daripada itu setelah masuk waktu subuh, saya melihat setiap ruang luar dan dalam semuanya padat dengan jemaah. Saya kira lebih suku juta jemaah menunaikan solat subuh waktu itu. 

Ganjaran bersolat di Masjid Nabi ialah 1000 kali ganda. Syukur Alhamdulillah. Ganjaran untuk 100,000 kali hanya ada di Masjidil Haram dan kami sedang menuju ke sana. 

Kira-kira jam 5 pagi solat subuh beakhir dan jemaah bertempiaran menuju haluan masing-masing. Yang meneruskan tidur dan berbaring di dalam dan di luar masjid di bawah payung ramai juga. 

Kami kembali ke hotel untuk sarapan pagi. Simple sahaja, juga tidak ada komplain. Belum pukul 6 pagi matahari telah mula menyinar. Ratusan kedai menjual pelbagai barangan telah mula dibuka seawal jam 5 pagi lagi. 

Saya perhatikan di sekeliling Masjid Nabi terdiri bangunan-bangunan yang kebanyakannya adalah hotel. Keadaan luaran amat gah, cantik dan nampak hebat. Di dalam kita tidak tahu namun jika hotel kami hendak dijadikan ukuran, maka keadaanya adalah biasa, sempit dan kecil. 

Penyedia atau pemilik hotel seboleh mungkin akan memaksimumkan jumlah penghuni setiap bilik. Contohnya bilik yang selesa untuk 2 orang akan dimuatkan seramai 4 atau lima orang, sehinggakan tiada ruang untuk bersenang lenang di dalam bilik.

Bilik yang boleh memuatkan 3 orang selalunya diisi sehingga 7 orang. Terdapat beratus2 hotel di sekeliling Masjid Nabi yang merangkumi radius 1 kilometer. Sementara itu pembinaan terus rancak di sekitar kawasan tersebut.

Lobi hotel kesemuanya kecil dan sempit, setiap ruang ada kegunaannya. Di sekeliling hotel bahagian bawah adalah kedai-kedai yang menjual pelbagai keperluan terutamanya pakaian.

Pesan saya kepada sesiapa yang akan ke sana, tidak perlu bersusah payah mencari dan membawa jubah dari Malaysia. Di sana jubah bertimbun di setiap ruang, cantik dan murah yang pastinya akan meruntung jiwa untuk membelinya.

Lorong dari hotel ke masjid juga akan di penuhi oleh peniaga 'haram' yang akan berkeliaran lari sekiranya diserbu oleh peguatkuasa. Para peniaga segera ini, menghalang pergerakan jemaah yang pulang dari masjid. Setiap lorong mereka blog dan berlaku kesesakan. Setiap lorong ada pasar lambak sementara sekurang-kurangnya untuk tempoh satu jam.

Jemaah kita memanggilnya sebagai 'pasar lambung' kerana kebanyakan peniaga akan menjerit sambil melambung barang jualan mereka.  

Photo: Mungkin potret ni akan kekal lamo dlm ingatan..
Bang Ngah, Afiq n Qawiyy dlm Masjid Nabawi, tidak sedar gambarnya dirakam.

  

No comments:

Post a Comment