GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Monday, June 2, 2014

PERJALANAN KE TANAH SUCI

Oleh Jokiden:
Bersama Abdul Qawiyy.. di Masjid Nabawi
   

17 Mei 2014 saya dan keluarga dengan izin Allah jua telah ke Tanah Suci Madinah dan Mekah untuk menunaikan UMRAH. Perjalanan dari KLIA ke Madinah mengambil masa selama 8 jam 10 minit. 5 petang kami mendaftar masuk dan pesawat berlepas jam 6.50 ptg. Sebelum berlepas Kapten Nasir Yussof membaca doa. Kami mengaminkan, mohon perjalanan kami selamat. Hati tidak boleh berbohong, kisah kehilangan MH370 tetap menjelma dalam ingatan di saat kapal hendak berlepas.

Segalanya tenang selepas itu, cuma sesekali pesawat terasa bergoyang. Biasalah Kapten akan memberitahu cuaca tidak beberapa baik.

Jam 10 malam lebih kurang pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah. Waktu Malaysia ialah kira-kira jam tiga pagi. Sepanjang perjalanan kata-kata Enab dalam salah satu postingnya di Fb sentiasa mengimbau dalam ingatan saya. "The feeling of being not been accepted by God" Kata-kata tersebut juga membuatkan Enab paling banyak menjelma dalam ingatan saya sepanjang berada di Tanah Suci.

Keinsafan yang timbul ialah.. kami datang menyahut seruan Pencipta dengan membawa dosa yang banyak. Bimbang sangat-sangat jika kehadiran kami tidak direstui. Pelbagai kisah misteri yang sempat dibaca sebelum ini menambahkan kegerunan di hati. Namun kami percaya bahawa Allah maha pengampun, maha pengasih dan maha penyayang. Air jernih mula menitis.

Sebelum berlarutan ingin ditegaskan di sini bahawa penulisan ini tidak bermaksud apa-apa selain daripada untuk mencatatkan pengalaman yang sempat dilalui. Bagi mereka yang telah pernah ke sana, malah berkali-kali anggaplah tulisan ini sebagai imbasan kembali.

LAR, SSAK, Zali, Kakcik Mariani, CTN, Enab, DJA, MCC, Hj Salim malah ramai lagi semuanya telah pernah ke sana. Terbaru rasanya ialah Molah pada bulan April lepas.

Sementara yang belum pernah ke sana saya akan berasa teramat syukur sekiranya tulisan ini dapat menimbulkan sedikit keinginan kalian untuk ke sana.


    
Selepas subuh. Kali pertama dalam hidup saya memakai jubah.


Jangan percaya kepada kata-kata bahawa pergi ke sana tidak ada apa-apa. Pergi ke sana serupa sahaja, solat di mana-mana tempatpun sama. Pergi dulu dan rasai kelainanya dalam serba serbi.. Di sana pasti tidak sama dengan di tempat-tempat lain.

Sebagai contoh, jika berdoa setulus hati dengan penuh keinsafan bahawa segala-galanya adalah atas kehendak Allah, maka ramai yang terkejut kerana doa tersebut dimakbulkan sepantas kilat sebelum sempat kita mengerdipkan mata. Menitis lagi air jernih dari kelopak mata.

Saya terasa bersyukur sangat kerana hajat untuk ke sana bersama keluarga akhirnya tercapai. Pelbagai halangan, visa, cuti yang tak serentak, duit yang tidak pernah cukup, keluarga yang tidak sihat, diri sendiri yang kurang bersedia dan macam-macam lagi, akhirnya apabila kami sekeluarga berada di sana, maka saya kira itu juga sebagai satu nikmat. Alhamdulillah.

Ramai kawan-kawan saya yang telah ke sana, seorang berdua ada yang membuat catatan perjalanan tersebut namun dikalangan warga SMBK rasanya tidak ada yang menulis di blog ini walaupun Kakcik Mariani sebenarnya boleh menceritakan kisah2 menarik yang beliau lalui di sana.


Muka comeh berhampiran Rhaudah..
  
Sebenarnya perjalanan selama 8 jam dari KLIA ke Madinah adalah memenatkan walaupun hanya duduk-duduk sahaja dalam kapal terbang itu. Saya dan keluarga berada di tingkat atas sepanjang penerbangan lalu saya membayangkan suasana saya sama seperti suasana Presiden Barack Obama. Kuranglah sikit rasa gementar.

Sesekali kapten kapal memaklumkan bahawa ketinggian pesawat ialah 36,000 kaki, jika terhempas maka jadi debulah kami. Kelajuan pula tetap kekal 950kmj, jarak perjalanan meliputi sejauh lebih 7000km. Ramai yang tidur, tetapi saya berjaga sepanjang penerbangan. Buat apa??? zikir jelah mana yang ingat. Jika di rumahpun jam 3 hingga 3.30 pagi saya baru nak memadamkan lampu, itu rutin harian. Jadi bagaimana saya nak tidur dalam penerbangan tersebut.

Dikala orang sibuk nak turun dari pesawat, maka waktu itulah saya menguap berkali-kali dan terasa tersangat mengantuk. Anak-anak mengheret saya turun dari pesawat... hahaha.. goli ati den.


2 comments:

  1. AsSalam,

    Terharu saya membacanya segala kenangan ke Mekah mengimbau semula...rasa nak menitis airmata pula...sayu......amat teruja utk kesana lagi.....entahlah.

    ReplyDelete
  2. Bulan Disember ni musim sojuk, kito poie samo-samo, Insya Allah..

    Jokiden.

    ReplyDelete